SELEPAS gagal dalam misi meletakkan pasukan Terengganu di kelompok tiga teratas saingan Liga Super, penyerang berbisa Skuad Penyu, Abdul Manaf Mamat menyimpan impian untuk mencipta rekod musim lalu beraksi dipentas final seterusnya mendakap piala berpresti itu.
Walaupun menyedari sukar untuk mencipta kejutan kerana terpaksa mengharungi aksi ranjau Kumpulan B bersama-sama juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan, Kedah dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Manaf yakin kemampuan jurulatih, Peter Butler serta rakan sepasukan.
Katanya, kegagalan untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musim lalu dan menamatkan saingan liga elit domestik di kelompok tiga teratas nyata memberi semangat baru bukan sahaja buat dirinya malah kepada semua pemain untuk memburu slot ke final.
"Secara jujurnya, memang saya mengharapkan dapat membawa pulang Piala Malaysia di bumi Terengganu ini selepas terlepas musim lalu dan saya yakin kami mampu melakukannya kali ini.
"Sebelum ini saya pernah merasai nikmat menjulang Piala FA pada musim lalu dan ingin mengulangi pengalaman itu bersama piala yang paling berperstij, Piala Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, jejaka yang bakal menyambut Aidilfitri kali pertama selepas bergelar suami ini optimis Terengganu mampu mengulangi kejayaan musim lalu biarpun tanpa mengunakan khidmat pemain pinjaman dengan mengekalkan pemain sedia ada dan pelapis daripada skuad Piala Presiden.
Menurutnya, perkara itu tidak mustahil untuk diulangi sekali lagi kerana semua pemain yang beraksi di pentas final musim lalu masih bersama pasukan dan menghargai kepercayaan yang diberikan pengendali skuad Penyu.
"Setiap jurulatih mempunyai cara mereka yang tersendiri dan saya hormati keputusan yang dibuat, malah bangga kerana dia (Peter Bulter) memberi kepercayaan kepada pemain tempatan termasuk memberi pendedahan kepada skuad pelapis.
"Malah dengan dengan kemunculan semula beberapa pemain daripada skuad kebangsaan seperti Ashaari , Muslim dan Mohd Zubir sedikit sebanyak memantapkan lagi pasukan kali ini," katanya.

Sementara itu, Manaf mengakui persiapan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia hujung bulan ini sedang giat dijalankan dengan sesi latihan setiap petang dan bermula minggu depan skuad Penyu akan menjalani latihan insentif pada waktu malam.
"Sepanjang bulan puasa aktiviti sedikit terbatas dan latihan lebih menjurus kepada kecerdasan , kalau diikutkan memang tidak cukup (latihan) tetapi mulai Ahad ini kita akan 'push' balik kekuatan dan keserasian bersama pasukan.
"Insyallah dengan kerjasama semua pemain dan semangat yang berkobar-kobar untuk bangkit kembali mampu membawa pasukan Terengganu mengulangi kejayaan ke pentas final sebagaimana musim lalu," katanya.
Ketika ditanya berhubung kecederaan pada buku lalinya, Manaf berkata, biarpun masih belum pulih sepenuhnya, namun menunjukkan perkembangan positif dan yakin mampu beraksi cemerlang sebagaimana sebelum ini.